Sunday, 21 October 2012

MUSA HASSAN - JANGAN JADI PENYIBUK URUSAN ORANG LAIN....




KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan menyelar cubaan sesetengah pihak yang cuba mencetuskan spekulasi susulan keputusan beliau menggugurkan kes saman ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.

Dalam perbualan telefon bersama The Malaysian Insider malam tadi, Musa berkata perbincangan dengan Anwar adalah berbentuk peribadi dan berharap pihak tertentu berhenti daripada terus membuat pertikaian dalam isu tersebut.

“Kenapa mahu sibuk-sibuk hal saya? Ia adalah perkara peribadi antara saya dengan Anwar.

“Ini cubaan sesetengah pihak yang cuba mencetuskan spekulasi dan saya berharap tidak perlu pihak lain untuk terus mencampuri urusan saya dengan Anwar,” kata Musa.

Kes tuntutan saman ke atas ketua pembangkang tersebut telah ditarik balik oleh Musa atas persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak dalam perbicaraan yang berlangsung baru-baru ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Musa yang ditemui diluar mahkamah menerangkan keputusan untuk menyelesaikan perkara tersebut diambil selepas beliau diberitahu berlaku “salah faham” dalam peranannya di dalam kes saman tersebut.

“Saya diberitahu terdapat salah faham tentang peranan saya di dalam kes yang difailkan ke mahkamah ini melibatkan insiden mata lebam disebelah pihak defendan.

“Jadi saya menerima cadangan untuk menyelesaikan perkara ini diluar mahkamah,” kata Musa.

Anwar membuat laporan di ibu pejabat polis kontinjen Selangor pada 1 Julai 2008 dengan dakwaan Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan dan menyembunyi beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Berikutan itu, Musa menfailkan saman terhadap Anwar pada 21 Julai 2008 atas alasan dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti profesionalnya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan itu.

Musa juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.

Ekoran keputusan tersebut, pelbagai khabar angin tercetus antaranya dakwaan bekas KPN tersebut akan menyertai PAS yang kemudiaannya dinafikan beliau.

Baru-baru ini beberapa pegawai tinggi kerajaan beragama Islam, termasuk bekas ketua setiausaha, bekas pegawai-pegawai khas serta pesara polis dan tentera menyertai PAS setelah menamatkan perkhidmatan mereka.

Antaranya bekas Ketua Siasatan Jenayah Datuk Fauzi Shaari, bekas ketua setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof dan bekas naib presiden Felcra Berhad Datuk Ramli Buyong.

Dalam sebuah temubual eksklusif bersama The Malaysian Insider sebelum ini, Musa telah memuji tindakan Fauzi menyertai PAS tetapi berkata beliau tidak akan mengikut jejak yang sama.

“Selepas ini, dia boleh mengajar PAS tentang undang-undang negara”, ujar Musa mengenai Fauzi ketika itu, sambil menambah bahawa beliau telah menolak lamaran dari sebuah parti komponen Pakatan Rakyat (PR).

Selain PAS, parti komponen PR adalah PKR dan DAP.

“Adalah lebih baik untuk orang seperti saya (bekas Ketua Polis Negara) untuk menjauhkan diri dari politik”, kata beliau kepada The Malaysian Insider pada bulan Julai lalu.

-malaysianiInsider-

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive