Thursday 18 October 2012

AUDIT 2011 - LEMBAH SIREH BUKAN UNTUK RAKYAT KELANTAN ???



KOTA BAHARU - Kerajaan Kelantan perlu mengkaji semula program pembangunan Lembah Sireh, di tebing Sungai Kelantan di sini, kerana dilihat tidak memberi keuntungan kepada penduduk setempat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata projek mega yang mahu dibangunkan di Lembah Sireh itu sebenarnya meminggirkan penduduk setempat yang telah lama membangunkan kawasan berkenaan dengan projek pertanian.

"Penduduk di situ telah hilang pendapatan mereka yang sebelum ini kawasan itu dijadikan tempat penanaman sayur dan kini kawasan itu diambil kerajaan negeri untuk projek pembangunan lain.

"Mereka kini sudah tidak ada tanah untuk mencari rezeki. Pendapatan mereka pun sudah tidak ada. Ini yang perlu kerajaan negeri kaji bagaimana mahu membantu penduduk yang rata-ratanya adalah petani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan akhir Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Datuk Fatmi 2012 di sini, hari ini.

Isu pembangunan Lembah Sireh itu mendapat perhatian beberapa wakil pembangkang di persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan beberapa hari lalu yang meminta kerajaan negeri menamatkan perjanjian dengan syarikat yang diberi tanggungjawab membangunkan kawasan itu.

Menurut mereka, syarikat berkenaan gagal membangunkan kawasan itu yang suatu ketika dahulu terkenal dalam bidang pertanian dan memberi keuntungan kepada penduduk setempat.

Mengulas perkara itu, Mohd Fatmi yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baharu berkata kerajaan negeri berhak untuk mengkaji semula klausa-klausa yang dipersetujui dengan syarikat berkenaan, dan jika benar telah gagal, kerajaan negeri boleh menamatkan perjanjian.

"Tanah ini telah diusahakan rakyat sejak lebih 100 tahun lalu. Ini kawasan titik peluh rakyat dan kalau gagal untuk dibangunkan, malah tidak memberi keuntungan kepada rakyat, bagi saya kerajaan negeri telah gagal," katanya.

Mohd Fatmi berkata syarikat pemaju sewajarnya menyediakan rumah kepada penduduk terbabit.

Projek pembangunan kawasan seluas 286.8 hektar itu turut ditegur di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika memberikan jawapan pada persidangan DUN itu berkata kerajaan negeri menyedari bahawa projek berkenaan tidak menepati masa pelaksanaan dan tidak memberi pulangan sebagaimana yang dirancang. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive