Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin
SHAH ALAM - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengingatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya bertindak bijak untuk memastikan peluangnya menjadi perdana menteri pada masa depan tidak terjejas.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata, Khairy telah melakukan kesilapan di tangga awal pendakiannya, namun diberi peluang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mengamalkan politik balas dendam.

"Khairy dan beberapa orang rakannya tidak dapat membasuh tangan, bahawa percaturan politik mereka telah memberikan sumbangan ke arah ketidak setabilan politik dalam parti dan juga keruntuhan kepada asas-asas ikatan perpaduan negara yang diletakkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan diperkukuh serta digemilangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad," tulis dalam entri blognya, www. zamkata.blogspot.com yang bertajuk, Khairy boleh jadi PM pada hari tua, semalam.

Menurutnya, dalam beberapa hal, percaturan ini dilanjutkan sehingga selepas Tsunami 2008, yang menampakkan ada usaha untuk membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke dalam Umno sehingga ke peringkat membawa pasport antarabangsa kepadanya untuk berubat patah tengkuk di luar negara. "Tetapi ternyata Khairy salah membaca sikap orang Umno," tulis Zam.

"Sorak megah pilihan raya 2004 berakhir dengan kehilangan maruah pada 2008 kerana kesombongan dan keegoan beberapa orang muda yang 'berkuasa'. Apabila saya buat kenyataan yang disiarkan Utusan Malaysia dan Sinar Harian, bahawa Tsunami 2008 menggagalkan cita-cita pemimpin muda dalam Umno untuk mengambil alih kuasa, salah seorang dari tingkat 4 telah menelefon dan memarahi Utusan," kata Zam.

Menurutnya, terlalu banyak kesilapan Khairy dan rakan-rakannya untuk diceritakan semula, tetapi ini bukanlah masanya.

"Ini adalah masa untuk lebih memfokuskan kepada pemulihan perpaduan dan seperti kata Tun Dr Mahathir, walaupun dia tidak suka seseorang calon, tetapi jika itu pilihan parti, maka dia akan mengundinya.

Sumber : sH

pT