Saturday, 22 March 2014

Transkrip Komunikasi MH370 Yang Didedah Tidak Tepat – DCA


SEPANG, 22 Mac – Transkrip komunikasi yang dikatakan berlaku antara penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) dan kawalan trafik udara (ATC) pada malam pesawat dilaporkan hilang pada 8 Mac telah diklasifikasi sebagai tidak tepat dan “tidak sahih”.

“Transkrip itu tidak sahih dan tidak tepat. Saya perlu memaklumkan bahawa transkrip antara menara kawalan dan pesawat adalah tidak tepat,” kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Beliau menyangkal transkrip yang disiarkan hari ini oleh media asing ‘The Telegraph’ semasa sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat itu yang masuk hari ke-15, di sini hari ini.

Turut hadir pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Ketika ditanya lagi tentang bahagian mana transkrip itu yang tidak tepat, Azharuddin tidak mahu mengulas tetapi berkata: “transkrip itu mengikut prosedur standard tidak boleh didedahkan kepada umum.”

The Telegraph dalam laporan esklusif bertajuk “Revealed: the final 54 minutes of communication from MH370′ mendedahkan komunikasi kokpit bermula semasa pesawat berada di landasan sehingga mesej terakhir pada 1.19 pagi iaitu ‘all right, good night’.

Lihat entri terdahulu di [SINI].

Transkrip komunikasi yang dikatakan antara pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid dan ATC bermula pada 00.25 dengan arahan am daripada menara kawalan kepada juruterbang. Perbualan terperinci bermula pada 00.36.

Terdahulu, Hishammuddin berkata transkrip asal komunikasi antara MH370 dan menara kawalan telah diserahkan kepada pasukan penyiasat yang sedang menganalisis transkrip itu.

“Mengikut amalan standard dalam siasatan seperti ini, transkrip tidak boleh didedahkan pada peringkat ini. Saya bagaimanapun dapat mengesahkan bahawa transkrip tidak menunjukkan apa-apa luar biasa,” kata beliau.

Isu mengenai bateri lithium-ion yang dibawa di dalam kargo pesawat MH370 itu sekali lagi dibangkitkan media hari ini, meskipun Ahmad Jauhari telah menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu pada sidang media semalam, selain mengeluarkan kenyataan rasmi.

“Bateri sebagai kargo adalah tidak berbahaya. Sebenarnya (bateri itu) tidak bahaya selagi dikendalikan mengikut spesifikasi garis panduan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA),” katanya.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

Nasib penumpang MH370 belum diketahui ketika 26 negara menggerakkan usaha mencari pesawat yang hilang itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive