Wednesday 26 March 2014

Tragedi MH370!!! Misteri Pesawat Ke Lautan Hindi Terungkai???

Dengan pesawat Malaysia Airlines MH370 dikatakan terhempas di selatan Lautan Hindi, penyiasat kini memperhalusi data satelit untuk mengenal pasti apa yang membawa Boeing 777-200ER itu ke kawasan terpencil – adakah ia sengaja dihempaskan atau adakah ia terbang menggunakan mod pandu auto hingga kehabisan minyak, kata seseorang yang rapat dengan penyiasatan Malaysia kepada Wall Street Journal (WSJ).

“Jika dan bila kami dapat lokasi yang lebih tepat, barulah kami mungkin dapat memastikan sama ada ia dilencongkan oleh mod pandu auto atau adakah ia diterbangkan ke sana.

“Dengan jumlah minyak dalam pesawat, adakah ia pergi ke lokasi paling terpencil? Adakah ia mengambil jalan yang berpusing-pusing?” katanya.

Analisis data satelit terbaharu mengecilkan kawasan pencarian di lautan itu kepada suku daripada zon sasaran terdahulu.

Analisis yang sama digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkata pada Isnin pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi.

Malaysia Airlines berkata, mereka terpaksa mengandaikan tiada yang terselamat, menyebabkan kemarahan di kalangan sesetengah ahli keluarga penumpang, terutama waris dari China.

Dengan pelbagai spekulasi mengenai bagaimana dan mengapa pesawat itu berada di Lautan Hindi, penyiasat juga memeriksa latar belakang juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid kerana dipercayai sistem komunikasi pesawat sengaja dipadamkan.

Bagaimanapun, tiada perkembangan mengenai motif atau bukti berlakunya sabotaj terhadap pesawat itu.

“Jika anda mahu meninggalkannya di kawasan paling terpencil, jika betul pun itu apa yang berlaku, anda perlu jadi gila untuk melakukannya,” kata sumber itu kepada WSJ. “Pada peringkat ini, siapa yang tahu sebabnya?”

Beliau berkata, Malaysia melihat kepada semua kemungkinan.

“Ada yang berpegang kepada teori tindakan yang disengajakan. Kami tidak mengenepikannya.”

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan membincangkan siasatan itu dan berkata, maklumat pra matang yang diberikan akan menyukarkan lagi pencarian jawapan.

Beberapa pakar berkata, ada kegagalan bencana dalam pesawat menyebabkan kapal terbang berpusing balik dan kemudiannya terbang.

Laporan WSJ berkata, penyiasat meletakkan harapan untuk menemui kotak hitam walaupun peluang mencarinya terhakis hari demi hari.

Kotak hitam itu menghantar ping secara berkala untuk membantu pencari menemuinya. Tetapi ia akan senyap dalam tempoh kira-kira 12 hari selepas baterinya habis.

Pencarian MH370 kini difokuskan di bahagian selatan Lautan Hindi, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam.

Hishammuddin berkata, operasi di koridor utara dihentikan susulan daripada maklumat yang diperoleh daripada analisis satelit terbaharu.

Beliau berkata, pencarian baru di selatan Lautan Hindi akan meliputi radius 469,467 batu nautika persegi.

Penyiasat pada masa ini berusaha untuk mengecilkan lagi kawasan pencarian dengan menggunakan maklumat daripada pengawasan satelit, analisis daripada data radar pengawasan, peningkatan udara dan aset permukaan dan peningkatan jumlah pakar teknikal dan subjek, kata Hishammuddin.

Pencarian pesawat MH370 adalah yang paling lama dalam sejarah moden pesawat penerbangan. Rekod terdahulu ialah misi 10 hari mencari Boeing 737-400 yang dikendalikan oleh syarikat Indonesia, PT Adam Skyconnection Airlines, yang hilang di perairan pulau Sulawesi pada 1 Januari, 2007.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive