Monday, 10 March 2014

MH370 - Bapa Pengsan Terima Berita Pesawat MAS MH370 Hilang #Pray4MH370


BANTING: Bapa seorang pengurus pengeluaran di Syarikat Freescale Semiconductor di Petaling Jaya, pengsan sejurus menerima berita pesawat MAS MH370 yang dinaiki anak sulungnya, Muzi Yusop, 50, hilang awal pagi semalam.


Semah Sidik, 70, berkata suaminya, Yusop Tahir, 76, baru pulang daripada menjalani rawatan dialisis di Telok Panglima Garang di sini ketika dimaklumkan seorang anaknya mengenai kehilangan pesawat MH370 yang dinaiki Muzi.

"Bila makcik dan pakcik keluar dari kereta, kami lihat isteri Muzi, Haniza Bachik masih berada di rumah sedangkan dia dan anak-anak sepatutnya berada di Perak selepas menghantar Muzi ke lapangan terbang.

"Kami kemudian diberitahu bahawa Muzi tidak sampai (ke Beijing) dan (kapal terbangnya) tidak mendarat. Pakcik terdiam dan sedar-sedar lihat dia pengsan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenjarom di sini hari ini.

Muzi, yang juga abang kepada Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Langat, Zurihan Yusop adalah antara 20 pekerja Syarikat Freescale Semiconductor yang dihantar berkursus di China selama sebulan.

Zurihan dan seorang adik lelakinya kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang untuk mengikuti perkembangan terkini operasi mencari pesawat yang hilang itu.

Semah berkata suaminya, yang merupakan bekas pengawal keselamatan, menghidap penyakit jantung, buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.

Ditanya mengenai perubahan sikap Muzi sebelum berangkat ke China, ibu kepada enam orang anak itu berkata beliau tidak perasan sebarang perubahan sikap anak sulungnya yang disifatkan seorang yang bertanggungjawab serta amat mementingkan keluarga.

"Sebelum bertolak ke KLIA, Muzi ajak makcik pergi sekali hantar dia tetapi makcik tidak mahu pergi kerana bapak (Yusop) tidak sihat. Makcik juga sempat berpesan supaya Muzi jaga diri sepanjang berada di sana," katanya, dan berdoa agar pesawat MH370 itu ditemui.

Semah berkata selepas mengetahui berita mengenai kehilangan pesawat dinaiki Muzi, saudara-mara, jiran serta sahabat tidak putus-putus melawat mereka sekeluarga dan turut bersama-sama membacakan Yasin di rumah beliau.

Sementara itu, hasrat wartawan untuk menemu bual isteri Muzi, Haniza, 47, tidak kesampaian apabila anggota keluarganya meminta supaya guru tadika yang sedang bersedih itu tidak diganggu.

Ketika mengunjungi kediaman Haniza, yang terletak di hadapan rumah ibu bapa Muzi, beliau dilihat mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di televisyen.

Hanya perkataan "reda" dan "ada hikmah di sebaliknya" dituturkan ibu kepada tiga anak berumur 24, 21 dan 15 tahun itu, yang dilihat tidak berhenti menangis.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Jenjarom, Ma'amin Radiman berkata sejurus mengetahui berita kehilangan pesawat MAS itu, penduduk mengadakan solat hajat di Masjid Al-Falah kampung itu.

"Saya telah meminta pengurusan Masjid Al-Falah dan enam surau di kampung ini untuk terus mengadakan solat hajat serta berdoa setiap kali selepas solat agar pesawat dan penumpang selamat ditemui," katanya.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar selepas berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi Sabtu. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi waktu tempatan. - Bernama




1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive