Friday, 28 February 2014

Surat Terbuka Dari Anak Bang Non Untuk Hishamuddin???

SAYA merujuk kepada laporan The Malaysian Insider yang mendedahkan beberapa gambar rekahan pada beberapa kawasan landasan, termasuk sebuah ruang pesawat di KLIA 2.

Susulan daripada rekahan ini, sekali lagi saya menyeru kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar memberi penjelasan yang terperinci kepada kesemua rakyat Malaysia, apakah tindakan yang akan diambil ke atas kontraktor projek ini, yang pada ketika ini sudah jelas tidak mampu menghasilkan sebuah lapangan terbang yang berkualiti.

Sekiranya kerosakan seperti ini terjadi sebelum lapangan terbang ini dibuka, bagaimana pula keadaannya selepas dibuka? Saya amat bimbang dengan keselamatan rakyat Malaysia yang menggunakan kemudahan ini apabila ianya dibuka kelak.

Pemangku Menteri juga perlu menjelaskan, adakah kerosakan yang terbaru ini akan menangguhkan lagi pembukaan lapangan terbang ini, yang pada ketika ini dijadualkan akan dibuka pada 2 Mei 2014? Berapakah kos yang bakal ditanggung oleh pembayar cukai untuk membetulkan kerosakan ini?

Dan apakah kerajaan akan memeriksa dengan lebih halus kualiti pembinaan yang telah dijalankan oleh UEMC-Bina Puri, memandangkan pelbagai kelemahan demi kelemahan didedahkan sepanjang projek ini berlangsung?

Sudah tiba masanya kerajaan bertegas mengambil tindakan yang sewajarnya, memandangkan isu rekahan ini melibatkan keselamatan penumpang. Pemangku Menteri Pengangkutan telah membuat kenyataan, “Pihak yang terlibat dalam pembinaan dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 diminta meletakkan kepentingan nasional bagi menjayakan permulaan operasinya pada 2 Mei ini.”

Dengan mengambil pendekatan yang sama, saya menggesa kerajaan Malaysia agar meletakkan kepentingan nasional dalam tindakan yang bakal diambil atas pendedahan yang terbaru ini.

Demi kepentingan nasional, kerajaan tidak boleh menyembunyikan atau berdiam diri atas kelemahan dalam pembinaan lapangan terbang ini. Pada Julai 2013, Pemangku Menteri Pengangkutan telah berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pengangkutan untuk memantau projek KLIA 2 bagi memastikannya siap dalam tempoh ditetapkan, tanpa sebarang kelewatan lagi.

Beliau menambah jawatankuasa itu akan memberi laporan secara mingguan bagi membolehkan beliau memantau pelaksanaan projek itu secara lebih dekat. Saya ingin menuntut agar laporan-laporan jawatankuasa ini didedahkan untuk penelitian awam.

Pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk orang awam, syarikat penerbangan kos rendah dan ahli politik berhak meneliti laporan-laporan ini untuk menyiasat kepincangan-kepincangan projek dan punca ia berlaku.

Seraya dengan itu, saya telah pun mengutuskan sebuah surat kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, memohon sebuah lawatan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke tapak projek KLIA 2, agar kami dapat memantau sendiri keadaan projek ini.

Saya menyeru Datuk Seri Hishammuddin agar menyambut baik permohonan saya atas nama ketelusan, dan mengaturkan lawatan ini dengan kadar segera.

Sekali lagi saya menyeru kerajaan agar menubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan isu KLIA 2, dianggotai oleh wakil-wakil dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional – bertanggungjawab untuk memastikan pembinaan Lapangan Terbang ini mematuhi spesifikasi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberikan lebih kawalan kepada penyeliaan kos pembinaan KLIA 2.

Kerajaan tidak lagi boleh berdolak-dalik dalam isu ini, dan mesti membuat sesuatu yang drastik dengan segera, agar kepentingan nasional dapat dipelihara. 


Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive