Friday, 28 February 2014

Adenan Angkat Sumpah KM Baru Sarawak

Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng di Astana Sarawak di Kuching.

Baru menyambut ulang tahun ke-70 kelahirannya bulan lepas, Adenan yang berbaju Melayu gelap, melafazkan sumpah memegang jawatan kira-kira 9.38 pagi, melakar satu lagi detik bersejarah bagi Sarawak.

Pelantikan beliau hari ini menyusul selepas pendahulunya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengemukakan peletakan jawatannya pada 11 Feb selepas 33 tahun menjadi ketua menteri di negeri terbesar di Malaysia.

Adenan memulakan kerjaya politiknya pada 1979 apabila beliau bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Muara Tuang dalam satu pilihan raya kecil dan mengalahkan calon daripada Parti Rakyat Jati Sarawak (Pajar) Razali Sabang dengan majoriti 2,797 undi.

Beliau mengekalkan kerusi DUN Muara Tuang dalam enam pilihan raya negeri berikutnya sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen ke-11 bagi kerusi Batang Sadong dan mengetepikan Adam Ahid daripada PAS dengan majoriti 9,371 undi.

Berikutan kemenangannya dalam pilihan raya parlimen, Adenan dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan pada 2004 sebelum kembali ke arena politik Sarawak untuk bertanding dalam pilihan raya negeri pada 2006 dan memenangi kerusi DUN Tanjung Datu.

Beliau dilantik sebagai penasihat khas kepada Ketua Menteri pada 2010, diikuti dengan pelantikan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak pada 2011 setelah berjaya mengekalkan kerusi DUN Tanjung Datu dalam pilihan raya negeri pada tahun berkenaan.

Sebelum menceburi bidang politik, Adenan pernah bergelar wartawan apabila menyertai akhbar tempatan, 'Sarawak Tribune', dan kemudiannya meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang di Adelaide University, Australia.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive