Saturday, 27 September 2014

'Kajang Move' PKR , Bermula Keretakan PR - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur Pakatan Rakyat (PR) kerana mencetuskan kebuntuan menteri besar Selangor dan menegaskan tugasnya sebagai pemerintah negeri bukan sekadar satu istiadat kerasmian, mempertahankan peranannya melantik Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar yang baharu.

Katanya, kebuntuan itu dimulakan oleh 'Langkah Kajang' yang diilhamkan PKR bertujuan menyingkirkan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kini dipecat daripada parti itu kerana enggan berundur.

"Seperti yang kita sedia maklumm, pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang baru ini adalah disebabkan PKR dan DAP tiada mempunyai keyakinan kepada Khalid yang menyandang menteri besar Selangor, yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

"Oleh itu, seorang menteri besar yang baharu dan exco baharu juga perlu dilantik untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor ini," titahnya semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Exco di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Sultan Selangor bertitah, baginda tidak gembira apabila timbul pelbagai hasutan dan tohmahan memburukkan Khalid supaya dapat diturunkan daripada jawatannya sehingga tidak menghormati bulan puasa.

"Hasut-menghasut dan melempar tohmahan terhadap Khalid berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadan, di mana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan kerja amal yang diredhai Allah untuk membersihkan dosa dan maksiat."

Titahnya, baginda sudah menyeru dan mengingatkan beberapa kali kepada rakyat Melayu beragama Islam di Selangor agar sentiasa bertaqwa kepada Allah dan melakukan amal jariah di bulan Ramadan supaya diterima Allah.

"Tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Khalid sebagai menteri besar Selangor," katanya.

Sultan berkata krisis yang berlaku membuka mata dan hati serta pandangannya terhadap politik di negeri itu dan mempertahankan peranannya dalam melantik seorang yang bukan pilihan PKR dan DAP sebagai menteri besar.

Selepas Sultan mengumumkan Azmin sebagai menteri besar minggu lepas, dan bukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beberapa peguam Perlembagaan dan pengkritik mengatakan pelantikan itu cacat dan tidak mengikut Perlembagaan negeri.

"Ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada pilihan raya akan datang.

"Tetapi kedudukan beta sebagai Sultan yang memerintah negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat beta."

Katanya, baginda kecewa dengan sikap segelintir ahli politik yang sengaja tidak faham peranan dan kuasa institusi raja kerana mereka ada agenda tersembunyi.

Titahnya, oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman fungsi sebenar Sultan, rakyat beranggapan institusi raja itu sebagai lambang sahaja tanpa ada peranan dan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

"Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Selangor yang beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan yang sempurna.

"Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri yang dijalankan oleh menteri besar. Beta hanya menasihat menteri besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat," titahnya.

Baginda juga berterima kasih kepada rakyat Selangor kerana menyokongnya dan percaya kemampuannya menyelesaikan kemelut menteri besar.

Titahnya, faktor ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Selangor menjadi keutamaannya mengendalikan krisis ini. Sultan Sharafuddin turut menitahkan 10 exco baharu supaya memberi sokongan padu kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

"Lupakan segala sengketa lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Selangor yang memberi mandat kepada tuan puan sebagai wakil rakyat mereka.

"Rakyat tidak suka melihat negeri Selangor ini di dalam kucar-kacir dan mereka tinggal di dalam ketakutan dan kesengsaraan," tegas baginda. Baginda berharap dengan pelantikan Azmin, parti PAS, PKR, DAP yang diberi mandat memerintah Selangor akan dapat bekerjasama demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Titahnya, rakyat menaruh harapan supaya mereka dapat menetap di Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran yang ada di dalamnya.

Pada masa sama, baginda turut menasihati orang Melayu-Islam tidak berpecah-belah dan tidak ekstremis atau mengelirukan rakyat hingga mengikut ajaran agama sesat.

"Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai demi kepentingan sendiri," katanya. Baginda khuatir jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran.

"Beta sentiasa berdoa supaya negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat Negeri Selangor yang beta kasihi ini," titahnya. 

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive