Thursday, 15 November 2012

PELIK !!! DI NEGARA LAIN BEREBUT NAKKAN AJARAN ISLAM , DI MALAYSIA SEORANG MANUSIA TU KATA MELAYU BEBAS MEMILIH AGAMA ???


PEMILIK sepasang mata biru dan rambut perang ini, Angela Collins, 36, lahir dalam keluarga penuh kasih sayang dan berpegang kuat pada ajaran Katolik yang diwarisi sejak turun-temurun.

Membesar di California, Amerika Syarikat, Angela hidup dalam budaya Barat yang sebelum ini dianggap sebagai cara hidup yang ideal.

Bagaimanapun, tragedi serangan berani mati yang melakar sejarah hitam pada 11September 2001 di New York itu membuka mata wanita ini untuk mendalami Islam.

“Walaupun ada ahli keluarga yang meninggal dunia dalam serangan itu, saya tetap bulatkan hati untuk memeluk Islam.

“Islam yang saya kaji adalah agama yang cukup indah, tidak seperti yang digambarkan Barat sebagai agama yang ekstrem.

“Saya juga percaya dengan kandungan al-Quran yang saya yakin diturunkan oleh Allah S.W.T., bukannya karangan manusia. Selain itu, hidup saya juga berpandukan sunah Rasulullah. Dua perkara ini sudah cukup untuk menjadi sumber pegangan dan panduan hidup saya,” katanya.

Sebenarnya, ketika usianya 14 tahun lagi, Angela sudah mempersoalkan konsep triniti dalam agamanya. Baginya ia suatu konsep kepercayaan yang cukup sulit dan kompleks untuk difahami.

“Semakin lama saya cuba memahami konsep itu, semakin kabur penjelasan yang saya terima.

“Saya bingung, mengapa Tuhan wujud dalam bentuk manusia dan membiarkan dirinya mati untuk menebus dosa dan membuktikan kebenaran tentang penyalibannya?

“Saya pergi berjumpa dengan beberapa orang paderi dan bertanyakan hal yang sama, tetapi saya tidak temui jawapan yang saya cari.

“Ketika itu, hati saya kuat mengatakan manusia perlu mempercayai hanya satu Tuhan iaitu Tuhan yang menciptakan segala-galanya. Paling penting, Tuhan bukan manusia. Ketika itu, tidak ada penjelasan lain yang saya rasa lebih rasional,” tukasnya.

Keluarga

Lantas, selepas hatinya mantap dengan keyakinan bahawa Tuhan itu satu, Angela mengucapkan kalimah syahadah seminggu selepas tragedi hitam 11 September.

Ketika itu, dunia sedang menyorot Islam sebagai agama terroris, namun, wanita ini tetap teguh dengan keislaman yang menjadi pilihannya malah pada detik bergelar sebagai seorang Muslim, Angela terus menutup auratnya sehingga ke hari ini.

“Islam adalah agama yang datang untuk membetulkan kesalahan manusia yang telah mengubah wahyu Tuhan kepada nabi-nabi terdahulu atas dasar kepentingan mereka sendiri.

“Islam itu sederhana. Allah ialah Tuhan yang menciptakan manusia dan kita menyembah-Nya. Allah mengutus para nabi seperti Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad untuk menyampaikan pesanan-Nya pada manusia,” jelas Angela.

Menurutnya lagi, dalam Islam, Nabi Isa yang dipanggil Jesus cuma seorang nabi dan dia akan datang kembali ke dunia sebelum Hari Kiamat.

Tambahnya, sebagai orang Islam, kita tahu bahawa apa pun yang dilakukan perlu dimulakan dengan niat sebelum mentranformasikan niat tersebut dengan ikhtiar untuk melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Islam.

Bersyukur kerana keluarganya menerima baik keputusannya memeluk Islam, Angela bertambah yakin bahawa Islam bukanlah agama pengganas seperti yang dilabel oleh sebahagian besar masyarakat Barat.

“Bapa saya, Dan Collins menghormati keputusan saya. Begitu juga dengan ibu. Ketika baru-baru memeluk Islam, saya memberitahu mereka, hubungan kekeluargaan tidak akan terputus hanya kerana saya sudah memeluk Islam. Sebaliknya, saya meyakinkan mereka bahawa saya tetap menyayangi mereka hingga ke akhir hayat.

“Alhamdulillah, ibu bapa sangat memahami kehendak saya. Pesan mereka, jadilah Muslim yang baik, jangan tinggalkan mereka dan jangan jadi pengganas,” kata Angela yang turut menolak keganasan lebih-lebih lagi terhadap wanita dan kanak-kanak.

Dia yang kini menjadi guru agama kepada kanak-kanak di komuniti Muslim di California menyifatkan, hidayah yang Allah berikan kepadanya adalah perkara paling indah yang pernah dilalui sepanjang hidupnya.

“Allah telah membuka hati saya. Dia tiupkan iman dalam hati yang dahulu tercari-cari siapa Tuhan dan di mana Tuhan.

“Mempelajari Islam membuka mata saya kepada erti kehidupan yang sebenar. Biarpun ada yang kata saya kolot, membalut tubuh dengan pakaian labuh dan tudung kepala, namun, bagi saya itulah kemanisan Islam.

“Saya hanya melaksanakan tuntutan agama yang diperintahkan Allah melalui kitab suci al-Quran. Apa yang saya harapkan, Allah akan terus merahmati kehidupan saya di dunia dan akhirat,” katanya.

Ditanya mengapa dia masih mengekalkan namanya, sambil tersenyum, Angela ringkas menjawab:

“Saya bangga dengan nama yang ibu saya berikan. Saya Angela dan saya ialah seorang Muslim,” jawabnya. - Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive