Wednesday 1 August 2012

UMNO KELANTAN BUKAN LEMAH !! PAS PULA BUKAN KUAT !!


Boleh dikatakan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan parlimen di Kelantan sudah bertuan atau sudah ada sang pemilik. Baik dipihak Pas maupun Umno sudah ada calon masing-masing. Tapisan nama-nama calon di peringkat akhir sudah dibuat dan berada dalam tangan ketua parti masing-masing. Bagi Pas ia tergenggam erat ditangan Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala Umno pula tergenggam erat ditangan Mustapa Mohamed.

Sesiapa yang boleh 'menyekah' tangan kedua orang ini mereka akan dapat mengetahui apakah nama mereka ditanda (right) atau pun dipangkah. Nama-nama calon yang sudah ada dalam genggaman Nik Aziz sukar untuk diketahui. Sebagai pemegang amanah beliau tidak akan berkongsi maklumat dengan sesiapa. Sukar untuk Nik Aziz membuka mulut dan semuanya menjadi rahsia beliau seorang.

Kedudukan anaknya, Nik Mohamad Abduh sendiri tidak diceritakan kepada sesiapa. Apakah timbalan Dewan Pemuda Pas Pusat itu bertanding atau tidak belum dapat dipastikan. Tanya berapa kali pun beliau tidak akan membuka mulut. Tetapi saya pasti kali ini Nik Abduh akan turun gelanggang.

Berlainan dengan Mustapa. Beliau agak bertolak ansur dan terbuka mengenai calon. Walaupun sesetengahnya sudah dikenal pasti tetapi berubah kembali. Mustapa juga tidak lokek untuk berbincang dan bertanya pihak-pihak tertentu mengenai calon yang dikemukakan kepadanya. Ini menjelaskan Mustapa tidak ada 'kunci' khas untuk memuktamad calon-calon. Bahkan yang pernah dikunci pun ada yang terbuka dan terlepas balik.
Makanya walaupun nama-nama calon Umno sudah ada dalam kocek Mustapa, tidak bermakna nama-nama itu sudah muktamad. Masih dalam penilaian dan semakan terakhir. Semakan secara menyeluruh bukan saja mengenai latar belakang diri, tetapi latar belakang keluarga dan 'sain sobat' juga. Ini dirasakan kerana nama-nama ini masih bertukar ganti di peringkat akhir.

Pertukaran ini menyebabkan bakal-bakal calon jadi tidur tidak lena, makan tidak kenyang juga demam tidak kebah. Sekali berhajat untuk ke kedai gambar untuk pukul gambar buat poster calon, sekali tangguh dulu. Begitu juga yang terpaksa menanggung biaya sendiri sudah pun ada bayangan untuk mengadai tanah atau harta untuk dijadikan belanja pilihan raya.

Dalam Umno berbeza, mereka yang merasa akan jadi calon sudah membayangkan berapa banyak yang akan mereka perolehi sekiranya menjadi calon. Mereka akan membungkus wang berkenaan. Sebab itu dalam Umno kalau kalah bertanding tidak mengapa kerana wang imbuhan pasti dapat. Dalam Umno pilihan itu dianggap sebagai perdagangan yang tidak perlu mengeluarkan modal. Perangailah antara punca kenapa berlaku perebutan.

Berbalik kepada mauduk awal tadi hari ini lobi melobi masih berterusan di kalangan mereka berhajat untuk jadi calon. Lobi melobi ini bukan saja setakat bahagian, negeri tetapi yang langkah panjang sedikit sanggup melangkah ke Putrajaya atau pun mengikut ke mana perdana menteri pergi, sampai PM yang mempunyai berbagai masalah itu pun naik pening untuk melayan mereka yang tergila hendak bertanding. Pantang kalau Najib Razak atau Muhyuddin Yassin ajak berbuka puasa mereka akan 'berungga' ke rumah presiden dan timbalan presiden itu sanggup tinggal anak isteri atau penyokong di kawasan. Yang penting kena tunjukkan muka kepada pemimpin dulu.

Bercakap hal ini bagi Umno ada beberapa kawasan di Kelantan nampak gawat berhubung pemilihan calon ini. Bagaimana Mustapa tidak pening... kalau sampai enam orang nama dicadangkan untuk satu-satu kerusi. Bayangkan yang akan dipilih hanya seorang. Masing-masing mengaku dan merasa layak dan boleh bawa kemenangan kepada parti. Yang 'merohakkan' Mustapa beliau tidak boleh membuat keputusan. Walaupun ada kuasa prerogetif sebagai ketua perhubungan tetapi jarang keputusan itu dihormati.

Pernah berlaku sebelum ini nama yang diputuskan oleh Pengerusi Perhubungan kemudian dipotong atau dibatalkan disaat-saat akhir. Implikasinya menyebabkan berlakulah "berkucar wak yoh" di dalam parti itu akhirnya membawa kekalahan. Umno di Kelantan bukan lemah dan lawannya Pas bukan kuat. Tetapi kelemahan yang ada kepada Umno ialah ahli tidak dapat menerima dan akur kepada keputusan pucuk pimpinan dan sikap cah keting sesama sendiri terus menjadi kongkalikong politik. Masalah atau budaya inilah menyebabkan Umno kalah.

Sekiranya Umno akur, tenang dan menerima keputusan parti dengan redha, barang kali sukar juga untuk Pas merangkul banyak kerusi dan menang secara berterusan sebanyak empat penggal. Kalau budaya cah keting dan kongkalikong politik itu dibuang Umno tidak mustahil berpeluang untuk membentuk kerajaan di Kelantan.

Seperti diakui kekalahan Umno bukan kerana Pas kuat, tetapi kekalahan Umno kerana kelemahan yang ada kepada parti itu. Tidak dapat menerima orang lebih baik dari kita sebagai calon dan berusaha untuk melemahkan juga termasuk dalam ciri-ciri kelemahan itu yang boleh disifatkan Umno selalu menggali lubang untuk mengambus diri sendiri. 

PT
Apa pun kita masing-masing ada otak serta akal, masing-masing ada pendapat, fikir-fikir dan renungkan dan cari sendiri kebenarannya. Kuasa memilih pemerintah berada di tangan kita. Pastikan PRU13 tidak berlalu sia-sia, tidak kira bila ia menjelma. Bijak memilih, negara bersih.Demi keamanan dan keharmonian kepada generasi akan datang dan jangan kita buta dan dibutakan !!!...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive