Thursday 4 July 2013

Terlalu Banyak Rumah Urut Haram - Exco Selangor

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim mengakui Selangor mempunyai bilangan rumah urut dan pusat hiburan yang banyak meskipun kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan lesen baru.

Beliau juga tidak menafikan rumat urut baru dan pusat hiburan berkenaan beroperasi secara haram dan tidak mempunyai sebarang kelulusan.

“Kalau kita selalu melakukan pemeriksaan setiap hari pun, dalam masa setahun pun tak habis. Buat (pemeriksaan) satu hari, tutup satu, buka dua lagi esok. Jadi kita kena fikirkan satu cara yang lebih holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah ini.

“Untuk isu-isu seperti ini, kemukakan maklumat yang lengkap kepada pihak berkuasa bagi memudahkan membuat pemantauan kerana ada banyak rumah urut, ada banyak pusat hiburan.

“Bagaimana PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan agensi berkaitan nak jalankan tugas sekiranya tiada maklumat?” soalnya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Jakiran Jacomah (BN-Bukit Melawati).

Teng berkata, aduan itu perlulah lengkap dan meminta orang ramai menghantar satu salinan kepada dirinya juga agar beliau dapat memastikan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas mereka.

“Sekiranya ada aduan, hantarkan satu salinan kepada saya supaya saya juga dapat mengingatkan PBT untuk mengambil tindakan terhadap aduan tersebut,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kepada sidang DUN Selangor hari ini bahawa kerajaan negeri, selain membekukan lesen pusat hiburan dan rumah urut, juga bertindak tegas terhadap pemilik yang sedia ada dalam usaha membanteras maksiat.

“Tindakan kompaun ke atas premis-premis di atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen termasuk kepada pemilik premis, melaksanakan tindakan sitaan dengan menyita peralatan seperti komputer yang berada di premis.

“(PBT juga) mengkaji semula syarat kelulusan lesen dan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi kerajaan,” katanya. Bilangan pusat hiburan dan rumah urut di Selangor dilaporkan meningkat sejak tahun 2008, iaitu apabila kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini.

Walaupun lesen baru tidak dikeluarkan, difahamkan kebanyakannya pusat berkenaan beroperasi tanpa lesen. Teng juga berkata pihak berkuasa tempatan menjalankan sebanyak 148 pemeriksaan, dan mengeluarkan 77 saman serta melakukan 49 penyitaan.

Namun mereka masih gagal menyelesaikan masalah berkenaan, kata Teng sambil menambah, kerajaan negeri juga mengenal-pasti terdapat 929 premis judi. Bagaimanapun, PBT berusaha mengatasinya dengan membuat permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik ke premis terbabit.

“Memang ada buat permohonan kepada TNB untuk potong elektrik termasuk juga permohonan buat pemeriksaan, saman, menyita dan sebagainya. Tapi tak selesaikan masalah juga,” katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive