Demo PTPTN: DBKL arah mahasiswa kosongkan Dataran Merdeka
KUALA LUMPUR - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Malaysia Bangkit kecewa dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menahan aktivis Occupy Dataran, Mohd Fahmi Reza dan Umar Mohamad Azmi semalam, tetapi menegaskan, ia tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus berkhemah sehingga hujung minggu ini.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, DBKL sepatutnya tidak perlu untuk mengganggu, menyita dan menangkap peserta protes di Dataran Merdeka.

"Tiada sebab munasabah untuk mereka lakukan sedemikian. Berhimpun secara aman tanpa senjata telah dijamin dalam Perlembagaan Perkara 10.

"Juga tiada sebarang notis bertulis tidak membenarkan kami berkhemah di Dataran Merdeka. Malah, kini dah masuk hari ke-10 kami di sini. Kenapa kini baru nak ganggu?

"Fahmi Reza masih menunggu tindakan daripada DBKL ke atasnya berhubung tindakannya mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Cuma Umar sahaja dibicarakan di mahkamah dan telah diikat jamin RM1,000," kata beliau kepada wartawan Sinar Harian.

Sejak dari pagi tadi, persekitaran di Dataran Merdeka sudah masuk hari ke-10. Tiada aktiviti yang dilakukan kecuali malam ini diadakan kuliah ceramah dari aktivis dan bekas aktivis mahasiswa, Hishamuddin Rais, selepas itu sidang rakyat dan khemah akan terus dipasang.

Walaupun dikecam hebat, SMM akan terus nekad berada di Dataran Merdeka sehingga 28 April ini memperjuangkan isu menuntut memansuhkan PTPTN dan pendidikan percuma.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa penguat kuasa DBKL mengambil tindakan sewajarnya setelah penganjur demonstrasi memansuhkan PTPTN mengingkari perjanjian untuk tidak berhimpun di Dataran Merdeka di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, tindakan menahan dua lelaki dan merampas khemah kumpulan terbabit pada 8 pagi semalam dibuat setelah pihak penganjur kumpulan itu memungkiri janji, yang ditandatangani antara penganjur kumpulan itu, Mohd Fahmi dan DBKL pada 1.15 pagi semalam.

Katanya, Mohd Fahmi menuntut barangannya seperti beberapa khemah, kain rentang dan lain-lain barangan daripada DBKL pada awal pagi itu setelah DBKL merampasnya pada 21 April lepas.

"Pada 8 pagi semalam, mereka kembali mendirikan 16 khemah di tempat yang sama dan selaras dengan amaran yang telah diberikan, pegawai saya merampas semula barangan mereka dan melakukan tangkapan ke atas Mohd Fahmi kerana dia turut berada di dalam khemah itu," katanya.

Ketika pegawai penguatkuasa DBKL mengiringi Mohd Fahmi untuk dibawa ke balai polis bagi membuat laporan, tiba-tiba datang seorang lelaki, Umar menghalang tugas pegawai berkenaan.

Akibatnya kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi dengan Umar didakwa menghalang tugas penjawat awam bertugas manakala Mohd Fahmi ditahan kerana melanggar Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 iaitu berkumpul tanpa permit dan kesalahan mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974. -sH