Datuk Husam Musa
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat disaran meneliti kembali kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA) serta meneliti semula kandungan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Felda jika memerintah Kerajaan Pusat kelak.

Naib Presiden Pas, Datuk Paduka Husam Musa berkata, langkah itu perlu dilakukan untuk mengkaji dengan lebih teliti tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk membangunkan taraf hidup dan memperjuangkan kebajikan peneroka.

Beliau bercakap demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Hala Tuju Felda, di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini.

Husam menambah, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat boleh menyelamatkan nasib peneroka dengan segera mengeluarkan geran hak milik individu bagi peneroka-peneroka yang telah lama menyelesaikan bayaran premium atau lain-lain bayaran kepada Pejabat Tanah.

Beliau menjelaskan, kesan kepada pemberian hak milik ini kepada peneroka dapat menghapuskan ruang ugutan Felda terhadap peneroka terutama berkenaan urusan tanam semula dan serah ladang.

Dalam pada itu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ini perlu diselesaikan sebelum Jun benar-benar menjurus kepada maksud dana pilihan raya, dakwa Husam.

“Kepentingan peneroka adalah lebih penting dari percubaan mencari dana pilihan raya parti pemerintah. Apa lagi jika terselit tujuan mengaut keuntungan segera bagi segelintir yang berkuasa.

Penghujung Mac lalu, Najib berkata akan mengumumkan ‘durian runtuh’ kepada para peneroka bersempena penyenaraian FGVH akan dibuat dalam satu perjumpaan besar-besaran bersama warga peneroka di Pahang bulan depan. -sH