Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliaulah penulis catatan ‘kangkung’ di atas yang tersebar di laman Twitter dan Facebook.
Menyifatkan ia zalim dan satu propaganda bagi memburukkan hubungan baiknya dengan kerajaan, Ungku Aziz berkata beliau tiada masa untuk melakukan perkara tersebut.
“Itu merupakan satu penipuan yang mana orang lain menggunakan nama dan gambar saya untuk kepentingan tertentu…saya tak ada (akaun) Twitter, tak keluarkan apa-apa puisi (catatan) seperti itu.
“Saya tak tahu siapa dan apa tujuan dia buat macam tu. Ini kerja propaganda bagi burukkan hubungan saya dengan perdana menteri, dan saya boleh katakan ia adalah zalim,” katanya dipetik Bernama.
Catatan tersebut tersebar di laman dan media sosial setelah penjelasan Najib berkaitan peningkatan dan penurunan harga barang ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman pada Ahad lalu.
Beliau juga menjelaskan lebih cenderung menulis pantun berbanding puisi. Ditanya tentang kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyalahgunakan identitinya, beliau berkata tidak berhasrat berbuat demikian.
“Saya tidak berhajat mengambil tindakan lanjut. Saya harap dengan kenyataan ini dapat hentikan penyalahgunaan ini daripada terus berlaku.
“Kepada mereka yang suka membuat propaganda, saya nasihatkan supaya hentikan kerja yang mendatangkan dosa ini,” katanya. - Sumber
No comments:
Post a Comment