PAKAIAN menutup aurat atau berhijab sangat sinonim dengan wanita Muslimah. Tetapi, berlainan pula bagi gadis berbangsa Cina dan pemilik nama Yeap Chin Yee atau lebih mesra disapa sebagai Felixia Yeap ini (gambar di bawah.)
Biarpun pernah digelar simbol seks sebelum ini, kini bekas model majalah Playboy Bunny ini kelihatan lebih ayu dan jelita bak wanita Muslimah di luar sana.
"Bagi saya, dalam menutup aurat, ia bukanlah tertakluk kepada mereka yang beragama Islam saja.
"Ini kerana, saya sering kali melihat wanita yang beragama Islam tidak menutup aurat.
"Saya percaya, agama Islam tidak pernah menghalang mana-mana wanita untuk menutup aurat dengan sempurna asalkan mereka tidak menyalahgunakan cara pemakaian itu," katanya kepada Zass dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini, seperti di laporkan Sinar Harian hari ini.
Begitu pun, sesuai dengan perubahan imejnya itu, anak kelahiran Ipoh, Perak ini mengumumkan bakal mengucap dua kalimah syahadah menjelang Ramadan ini bersempena dengan ulang tahun kelahirannya Julai depan serta tidak sabar-sabar menjalani ibadah puasa.
Mengulas lanjut, gadis jelita ini menjelaskan, dia tidak berniat untuk menangguhkan niat suci tersebut sebaliknya memerlukan lebih masa bagi mendalami agama ALLAH SWT itu.
"Saya masih lagi dalam peringkat mengenali agama Islam. "Buat masa ini, saya sedaya-upaya mencari masa untuk membaca buku agama.
"Malah, jika berkesempatan, saya ada menghadiri kelas dan ceramah agama supaya lebih memahami mengenai Islam," kata bekas finalis Dewi Remaja ini.
Pun begitu, dia menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Tuhan.
"Saya tidak menyangkal sebarang kemungkinan akan memeluk agama Islam, tetapi apa yang saya ingin katakan kepada semua, adalah untuk berserah kepada ketentuan Tuhan.
"Ajaran Islam itu tidak pernah berunsurkan desakkan atau gesaan. Saya tidak mahu terburu-buru memeluk Islam hanya kerana desakkan orang ramai yang bukan berada di dalam situasi saya," katanya.
Menurut berita itu lagi.. ‘Kerakusan manusia’. Mungkin dua perkataan itu boleh menggambarkan akan situasi sebenar yang dialami oleh Felixia Yeap. Masakan tidak, model Playboy Bunny pertama berwarganegara Malaysia itu boleh 'bertukar' sehingga 360 darjah dalam membawa perubahan imej terkininya, menutup aurat dan bertudung litup.
"Setelah hampir 10 tahun berkecimpung dalam dunia peragaan, saya tidak nafikan banyak perkara tidak manis pernah dilihat. Bukan saja melihat, malah saya juga mengalaminya sendiri.
"Lebih-lebih lagi, apabila haluan peragaan yang saya terjerumus dulu, memerlukan modelnya berimej seksi dan 'hot' untuk mendapat lebih kerja.
"Ketika itu, tiada unsur agama hadir dalam hidup saya. "Saya kecewa dengan individu yang mendekati atas tujuan mengambil kesempatan dan bukannya kerana prestasi kerja, keperibadian dan disebabkan perkara ini juga saya sering dipandang remeh," katanya.
Jelasnya, situasi berkenaan membuatkan dia sedih dan tertekan sekali gus mula memberi sepenuh tumpuan kepada penampilan wanita Muslimah.
"Saya tahu diri saya lebih berharga daripada itu. Saya berhak untuk dihormati dan bukannya hanya dipandang sebagai simbol seks semata-mata.
"Setelah saya mula memberi perhatian terhadap wanita berhijab, saya merasakan mereka jauh lebih anggun, cantik dan manis dipandang semua.
"Malah setelah saya mulai berhijab, golongan Adam yang mengacau sudah berkurangan. "Saya tidak lagi dipandang pada aset fizikal sebaliknya mulai dilihat dari segi keperibadian, cara pemikiran, intelek dan bakat," jelasnya.
Pada masa sama, Felixia berharap menjadi satu contoh dan teladan yang lebih baik kepada semua. Duta butik Neng Geulls ini juga bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama ibunya.
"Sejak berhijab, ibu menyaksikan sendiri perubahan ketara yang dialami. "Jika dulu, saya seorang panas baran dan berfikiran sempit, kini jauh lebih tenang dan berfikiran lapang serta terbuka.
"Saya gembira atas perubahan positif dan lebih seronok apabila ibu dapat menerima saya seadanya," kata pengamal diet pescetarian iaitu yang hanya memakan makanan laut, telur, tauhu dan sayur ini.
Sumber
Alhamdulillah, Jazakillahu Khairan Kathira!
No comments:
Post a Comment