Friday 30 March 2012

BETUL SANGAT!!! Dollah Kok Lanas : Kesian Shahrizat


Bekas timbalan menteri, Tan Sri Abdullah Ahmad berpandangan bahawa menteri pembangunan wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga perlu meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, Abdullah berkata tindakan itu merupakan langkah yang ideal.

Senator itu boleh kembali semula ke pentas politik "hanya apabila kes itu berakhir" dan Shahrizat terbukti tidak terlibat dalam projek National Feedlot Centre (NFC), katanya.

Abdullah, yang simpati dengan nasib yang melanda Shahrizat itu, bimbang sekiranya projek skandal berkenaan akan menjejaskan prestasi BN dalam pilihan raya umum akan datang

"Kalau saya jadi Shahrizat, saya berhenti kedua-duanya (Ketua Wanita Umno dan juga sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga).

"Perkara ini sudah jadi ejekan. Orang mengejek (dan) ia akan menjengkelkan anda. Sedikit sebanyak, anda perlukan semua kerusi," katanya.

Shahrizat sebelum ini mengumumkan untuk berundur daripada kabinet selepas jawatan senatornya tamat pada 8 April.

Abdullah juga berkata, buat masa ini Shahrizat tidak perlu tampil untuk memberi kenyataan. Sebaliknya bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu perlu menyusun gerakan untuk kembali ke arena politik.

"Tak payah bersorak, susun saja. Bila kes habis, balik. Bukan? Dia jangan berkokok. Kalau dia berkokok, orang kata ha... Macam-macam orang cakap," kata Abdullah.

Abdullah menyifatkan isu tersebut sebagai sesuatu yang malang buat Shahrizat – seorang pemimpin yang disifatkannya sebagai seorang yang baik dan berkebolehan.

Malah, beliau juga merupakan salah seorang yang menyokong Shahrizat untuk dilantik ke jawatan tersebut, kata Abdullah, yang dianggap berpengaruh di kalangan elit politik BN.

Abdullah, yang dilihat sebagai individu yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tun Razak Hussein itu juga yakin bahawa jentera Wanita Umno tidak akan memboikot kempen pilihan raya akan datang sekiranya Shahrizat terpaksa berbuat demikian.

Katanya, isu NFC sudahpun menjadi percakapan ramai, apatah lagi apabila pemimpin PKR mungkin masih mempunyai dakwaan baru untuk didedahkan berhubung isu tersebut.

"Puak-puak PKR ini dia tidak cakap semua. Dalam politik, anda tahu rahsia orang buruk itu jangan (dedahkan) semua. Ada 20 peluru jangan tembak semua dulu. Tembak satu, dua.

"Orang Melayu cepat lupa. Dia lupa daratan, kacang kulit. Bila (dapat duit) RM20 (akan lupa)," katanya lagi yang dikenali dengan nama jolokan Dollah Kok Lanas, sempena nama kawasan parlimen yang pernah diwakilinya di Kelantan.

Ditanya lanjut, Abdullah berkata beliau juga tidak melihat bahawa Najib enggan menerima kenyataan berhubung kesan isu tersebut apabila presiden Umno itu tetap menyatakan sokongan ke atas Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.

"Mungkin PM yakin bahawa (BN) akan menang walaupun dengan isu fidlot ini. Tapi, ia akan menentukan sama ada dia akan menang dengan majoriti 20 kerusi, 30 atau 40," katanya.

Najib sebelum ini memberi alasan, tiada sebab untuk Shahrizat melepaskan jawatan Ketua Wanita kerana bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu dipilih ke jawatan tersebut oleh para perwakilan pergerakan tersebut.

Ribuan ahli akar umbi Wanita Umno berhimpun bersama perdana menteri di Kuala Lumpur, Jumaat lalu, untuk menyatakan sokongan terbuka ke atas Shahrizat.

Dalam sidang media di perhimpunan itu, Najib berkata Shahrizat tidak harus dikorbankan atas kesalahan yang tidak dilakukannya, sebelum terbukti di mahkamah.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Wanita termasuk naib ketuanya Datuk Kamilia Ibrahim sebelum ini telahpun menyuarakan gesaan supaya Shahrizat berundur daripada mengetuai pergerakan itu. - MK

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive