Monday 24 September 2012

TIDAK BERLAKU PENCERAIAN ANTARA SAYA DAN SUAMI - VANIDAH


Vanidah mengulas nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti dilaporkan sebuah akhbar yang menggesa dia dan Rashidi memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan dalam filem tersebut.

Vanidah Imran menjelaskan tidak berlaku penceraian diantara dia dan suami, Rashidi Ishak berikutan dialog yang diungkapkan menerusi filem Untuk Tiga Hari.

Vanidah yang dihubungi wartawan berkata, dia dan suaminya telah meneliti skrip filem arahan Afdlin Shauki itu sebelum menerima tawaran membintangi karya berkenaan.

“Saya tidak faham bahagian mana dalam filem itu yang mengatakan Rashidi ada melafazkan cerai terhadap saya?

“Sebagai pelakon kami sangat berhati-hati dengan perkara sebegini dan tidak akan menerima sebarang watak yang menggambarkan sifat negatif suami isteri,”
katanya.

Dalam pada itu, Vanidah menegaskan dia tidak akan ke pejabat agama seperti mana dinasihatkan oleh Harussani kerana yakin tidak berlaku penceraian seperti yang didakwa.

Vanidah memberitahu, sebagai seorang Islam dia sedar mengenai soal agama serta hukum dan tidak akan cepat melatah dengan isu yang digembar-gemburkan.

“Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa saya dan Rashidi perlu ke pejabat agama untuk merujuk status kami sebagai suami isteri kerana lafaz cerai tidak pernah berlaku,” tegasnya.

Bagaimanapun Vanidah berkata, dia menerima nasihat daripada Harussani sebagai seorang ahli agama namun menganggap ulasan itu hanya dibuat berdasarkan kepada pandangan pihak ketiga tanpa menonton filem berkenaan.

“Saya berpendapat beliau tidak menonton filem itu tetapi hanya mendengar ulasan daripada pihak lain.

“Jika benar telahan saya itu, adalah tidak wajar pihak ketiga mahu mengheret seorang mufti memberi ulasan tanpa beliau melihat sendiri adegan yang saya dan suami lakonkan,”
katanya.

Vanidah berkata, sepanjang 12 tahun perkahwinan, mereka sentiasa memastikan keharmonian rumah tangga dan menjaga aib masing-masing.

“Bergelar pasangan selebriti menyebabkan ramai mata yang sentiasa memandang kami tetapi Alhamdulilah setakat ini kami bebas dari sebarang cerita-cerita yang tidak elok,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive